Murid ditangkap mencuri. Cara guru ini ‘uruskan’ muridnya wajar mendapat tepukan ramai!

Guru ibarat lilin yang menerangi hidup seseorang manusia. Tanpa guru, tidak akan wujud insan yang berilmu, berpengetahuan, memiliki nilai-nilai murni dan berwibawa.

Peranan guru dalam mendidik kita semua adalah sangat penting kerana jika tersalah didikan, anak murid tersebut mungkin akan ‘sesat’ atau tersalah arah.

Dalam usaha untuk membentuk sahsiah diri seseorang haruslah dimulakan di peringkat kanak-kanak. Namun, tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Kanak-kanak juga akan melakukan kesalahan tertentu.

Persoalannya, adakah hukuman harus dijadikan sebagai satu-satunya cara untuk  mendidik mereka?

Bagi guru bernama Mohd Fadli Salleh ini, nasihat atau bercerita mengenai kisah tauladan merupakan kaedah terbaik berbanding menggunakan pendekatan yang bersifat hukuman. Oleh itu, dia telah kongsikan satu peristiwa yang cukup memberi pengajaran buat kita semua.

Kredit: Facebook/Mohd Fadli Salleh

Kisahnya bermula apabila dua orang pengawas sekolah datang kepada guru ini untuk menyerahkan seorang murid Tahun Dua yang ditangkap atas kesalahan mencuri sekotak ensel warna di koperasi sekolah.

”Betul ke awak mencuri? Awak curi apa?”

Cikgu Fadli mengajukan persoalan tersebut dengan nada yang lembut. Bagaimanapun, pertanyaannya tidak dijawab dan pelajar berkenaan hanya tertunduk diam.

“Pandang muka cikgu. Cikgu tak suka orang berbohong dan cakap tipu dengan cikgu. Betul ke pengawas kata awak curi barang di kedai buku. Awak ambil apa?”.

Ketika itu, mungkin atas rasa bersalah, pelajar berkenaan tidak lagi mampu menahan air matanya dari mengalir. Setelah disoal, dia mengakui kesalahannya mencuri pensel warna kerana pensel warna miliknya banyak yang sudah hilang.

Malangnya, sewaktu dikejar pengawas, pensel warna yang dicurinya telah terjatuh ke dalam longkang.

Guru tersebut turut bertanya mengenai latarbelakang anak muridnya itu. Didapati dia masih lagi mempunyai ibu bapa malah bukan tergolong dalam kategori keluarga yang miskin.

Pelajar ini menjawab setiap soalan yang ditanya oleh Cikgu Fadli sambil teresak-esak sedangkan guru berkenaan tidak langsung memarahi atau mengugutnya dengan rotan. Tidak lama kemudian, guru ini bertindak menasihati pelajar tersebut supaya tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama.

“Aku nasihatinya jangan mencuri lagi dan terangkan bahawa perbuatan mencuri itu salah. Tidak boleh mencuri meskipun duit langsung tiada.”

Setelah memberikan nasihat sambil menceritakan beberapa kisah tauladan, barulah anak muridnya itu bertenang malah mendengar dengan penuh khusyuk.

Cikgu Fadli kemudiannya melakukan satu tindakan yang mungkin tidak terfikir oleh orang lain. Tetapi, niat baiknya itu diyakini dapat mengubah murid berkenaan supaya menyedari akan kesalahannya.

“Awak nak pensel warna tak? Cikgu hadiahkan untuk awak. Cikgu ada banyak pensel warna. Lap air mata itu dulu.”

Mendengarkan sahaja ayat tersebut keluar dari mulut gurunya, pelajar ini terus menuruti segala arahan. Dia mula mengelap air matanya dan menerima sekotak pensel warna jenama Luna dengan hati yang gembira.

Kredit: Facebook/Mohd Fadli Salleh

Menurut Cikgu Fadli, sebaik sahaja dihadiahkan pensel warna tersebut, mata murid berkenaan yang pada awalnya dipenuhi air mata kesedihan kini bertukar dengan senyuman kegembiraan.

Seorang murid yang ketakutan dan kesedihan kerana ditangkap mencuri kini menjadi murid yang gembira dan ceria selepas menerima sebekas pensel warna.

“Kadang-kadang, bukan semua kesalahan perlu kita balas dengan hukuman. Kadang-kadang, memaafkan itu lebih diingati. Kadang-kadang, sebuah hadiah itu mampu mengubah sikap berbanding hayutan rotan dan makian kejam. Kadang-kadang, apa yang kita buat hari ini membentuk jati diri seseorang 20 tahun nanti”.

Semoga kisah perkongsian Cikgu Fadli memberikan manfaat kepada anda semua.

Sumber: Mohd Fadli Salleh

Leave a Reply

Your email address will not be published.