Cara-Cara Untuk Mengusir Jin Dari Rumah

Rumah merupakan tempat untuk kita berehat setelah kita penat bekerja dan melakukan segala tugasan harian pada siang harinya. Oleh kerana itu, tidak ada apa yang akan dicari di dalam rumah melainkan ketenangan dan kebahagiaan. Tidak ada gunanya mendiami banglo mewah bertingkat-tingkat, tetapi apabila duduk di dalamnya, langsung tidak mendapat ketenangan yang didambakan. Orang kata biarlah rumah yang kita diami itu, walaupun sederhana tetapi apabila berada di dalam rumah tersebut, hati menjadi tenang. Antara salah satu faktor yang menyebabkan ketenangan di dalam rumah hilang adalah kerana rumah tersebut diganggu oleh jin dan syaitan. Yelah, macam mana nak tenang, sekiranya kita yang tinggal di dalam rumah itu kadang-kadang terlihat kelibat atau lembaga yang tidak sepatutnya melintas di dalam rumah. Kadang-kadang tu di dalam rumah dengan tiba-tiba dan tidak tahu dari mana puncanya, terbau seperti bau kemenyan atau setanggi. Lebih teruk lagi jika terbau bau yang busuk seperti bau bangkai. Jadi, apabila berada di dalam rumah yang sebegini, memang mustahil hati akan tenang. Jadi apa yang boleh anda lakukan?

Justeru itu, di dalam artikel ini  akan dikongsikan 8 cara yang boleh dilakukan untuk mengusir jin yang mengganggu rumah anda. Dua Langkah Sekiranya di rumah ada sudah terzahir gejala-gejala gangguan jin, ada dua langkah yang perlu anda lakukan. Langkah Pertama: Pengubatan Maksudnya di sini ialah apabila telah terzahirnya kepada anda dan ahli keluarga akan gejala-gejala gangguan jin, maka anda perlulah mengusir jin itu terlebih dahulu. Inilah yang dimaksudkan dengan pengubatan. Tetapi, apakah gejala-gejala jika rumah ada gangguan jin? Pada kebiasaannya, rumah yang mengalami gangguan jin akan ada gejala-gejala seperti di bawah: Makanan cepat basi. Selalu terdengar bunyi guli jatuh. Sering mendengar bunyi perabot ditarik orang. Terlihat kelibat atau lembaga melintas. Rasa meremang bulu roma apabila berada di dalam rumah. Jika ada gejala-gejala seperti yang disenaraikan di atas di dalam rumah anda, langkah yang paling baik yang boleh dilakukan untuk mengusir jin tersebut ialah dengan membaca Surah Al-Baqarah penuh. Ini adalah berdasarkan kepada hadis dari Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda: “Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu seperti kuburan. Sesungguhnya syaitan akan melarikan diri dari rumah yang dibacakan Surah Al-Baqarah di dalamnya” (Hadis Riwayat Muslim 780, At-Tirmidzi 2877) Siapa Yang Membaca? Jika berdasarkan kepada hadis di atas yang berbunyi “… dibacakan Surah Al-Baqarah di dalamnya” , ini jelas menunjukkan bahawa tidak semestinya tuan rumah yang membacanya walaupun sangat digalakkan. Mungkin anda boleh panggil perawat Islam atau peruqyah untuk tolong membacakan Surah Al-Baqarah, sekaligus boleh meminta bantuan dari peruqyah tersebut untuk memagar rumah anda dengan kaedah yang betul.

Langkah Kedua: Tindakan Pencegahan Langkah kedua ini adalah langkah yang paling penting tetapi biasanya ramai yang gagal untuk lakukan. Kenapa ramai yang gagal? Ini kerana langkah ini adalah langkah yang perlu dilakukan sepanjang anda tinggal di dalam rumah tersebut. Anda perlu istiqamah melakukannya. Ada 8 langkah pencegahan yang boleh dilakukan untuk mengelakkan rumah anda dari diganggu jin. Antaranya ialah; 1) Sentiasa Membaca Al-Quran dan Perbanyakkan Amal Ibadah Di Dalam Rumah Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Jangan jadikan rumah kamu seperti kuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan Surah Al-Baqarah di dalamnya.” (Hadis Riwayat Muslim 780 dan Hadis Riwayat At-Tirmidzi 2877). Dalam hadis di atas Nabi SAW membuat perbandingan di antara rumah dan juga kubur. Mengapa kubur? Ini adalah kerana kubur adalah tempat yang tidak boleh dijadikan sebagai tempat beribadah. Selalunya dalam filem Melayu, tempat-tempat yang seram, berhantu, mesti dikaitkan dengan kawasan kubur. Jadi, begitulah keadaannya apabila rumah yang dibiarkan tanpa ada pengisian ibadah di dalamnya. Maka dari situ akan datanglah jin dan syaitan menghuni rumah tersebut bersama-sama dengan ahli rumah. Dari sudut lain juga, apa yang boleh kita faham bahawa hadis di atas ialah bagi mereka yang masih belum mahir membaca Al-Quran, hendaklah belajar dengan segera. Ini kerana dengan kebolehan membaca Al-Quran, dapatlah kita mengamalkan apa yang dianjurkan oleh Nabi SAW iaitu membaca Surah Al-Baqarah di dalam rumah kita. Agak susah kita nak suruh orang lain yang bacakan untuk kita.

2) Jangan Pedulikan Segala Bentuk Gangguan Penghuni rumah yang diganggu oleh jin ni, biasanya mereka sering perasan seperti kelibat seseorang yang tiba-tiba melintas, kadang-kadang dengar sesuatu di atas siling dan sebagainya. Tetapi walau apa pun bentuk gangguan yang datang, antara cara yang berkesan ialah jangan dilayan segala gangguan tersebut. Sebab sekiranya dilayan, jin yang mengganggu akan terus-menerus melakukan gangguan kepada anda. Jika gangguan tersebut tidak dilayan, inshaaAllah lambat laun jin yang mengganggu akan menjadi bosan. Dari Abul Malih, dari seseorang, dia berkata: “Aku pernah diboncengi oleh Rasulullah SAW, lalu tunggangan yang kami naiki tergelincir. Lalu aku pun mengatakan, “Celakalah syaitan”. Tetapi Nabi SAW melarang. “Janganlah kamu ucapkan ‘celakalah syaitan’, kerana jika kamu mengucapkan demikian, syaitan akan semakin besar seperti rumah. Lalu syaitan pun dengan sombongnya mengatakan, ‘Itu semua terjadi karena kekuatanku’. Akan tetapi, ucapkanlah ‘Bismillah’. Jika engkau mengatakan seperti ini, syaitan akan menjadi semakin kecil sampai-sampai dia akan mengecil seperti lalat.” (HR. Ahmad 5:95 dan Abu Daud 4982 dan dishahihkan al-Albani) Jadi apa yang harus dilakukan jika berlaku gangguan? Caranya ialah anda memohon dan berdoalah meminta perlindungan kepada Allah SWT.

3) Baca Doa Masuk Rumah Salah satu amalan yang mudah, tetapi kebanyakan dari kita mengabaikannya ialah memulakan sesuatu dengan dengan doa dan zikir. Antaranya ialah apabila kita hendak melangkah masuk ke dalam rumah. Apabila hendak masuk ke rumah, mulai dengan membaca doa dan ucapkan salam. Walaupun nampak mudah, tetapi fadhilatnya amatlah besar. Tak percaya? Cubalah amalkan. Dari Jabir bin Abdillah RA, Nabi SAW telah bersabda: “Apabila ada orang yang masuk ke dalam rumah, kemudian dia mengingat Allah ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan mengatakan (kepada temannya): ‘Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam.’ Tapi apabila dia tidak mengingat Allah (bismillah dan lupa ucapkan salam) ketika masuk, maka syaitan mengatakan: ‘Kalian mendapatkan tempat menginap’.” (HR. Muslim 2018, Abu Daud 3765 dan yang lainnya).

4. Baca Doa Ketika Hendak Makan Membaca bismillah ketika hendak makan, menjadi penghalang kepada syaitan untuk makan bersama-sama dengan anda. Hadis dari Jabir di atas menegaskan hal ini. Tapi apabila dia tidak mengingat Allah ketika masuk maka syaitan mengatakan: ‘Kalian mendapatkan tempat menginap’. Dan jika dia tidak mengingat Allah ketika makan maka syaitan akan mengatakan: ‘Kalian mendapatkan tempat menginap dan makan malam’.” (HR. Muslim 2018, Abu Daud 3765 dan yang lainnya).

5. Baca Doa Ketika Tutup Pintu Dari Jabir bin Abdillah RA, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam telah memberikan banyak panduan agar kita tidak diganggu oleh syaitan. Salah satunya ialah: “Tutuplah pintu, dan sebutlah nama Allah. Kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup (yang disebut dengan nama Allah).” (HR. Bukhari 3304, Muslim 2012 dan yang lainnya). Sekali lagi, hanya dengan membaca: Bismillah.

6. Berdoa Ketika Keluar Rumah Satu doa ketika keluar rumah. Ringkas dan mudah dihafal, tapi fadhilatnya besar: بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ BISMILLAHI TAWAKKALTU ‘ALALLAAH, LAA HAULA WA LAA QUWWATA ILLAA BILLAAH Maksudnya, “Dengan nama Allah aku bertawakkal kepada Allah. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah”. Dalam hadis dinyatakan, barang siapa yang keluar rumah kemudian dia membaca doa di atas, maka disampaikan kepadanya: Kamu diberi petunjuk, dicukupi dan dilindungi. Maka syaitan kemudian berteriak: كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِيَ وَكُفِيَ وَوُقِيَ “Bagaimana kami mampu mengganggu orang yang sudah diberi hidayah, dicukupi, dan dilindungi.” (HR. Abu Daud 5095, Turmudzi 3426 dan disahihkan al-Albani).

7. Jangan Hias Rumah Dengan Gambar Makhluk Bernyawa Siapa sangka, rupa-rupanya gambar makhluk bernyawa boleh menjadi penyebab jin dan syaitan semakin suka berada di rumah kita. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya malaikat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya ada gambar.” (HR. Bukhari 3224, Nasai 5348 dan yang lainnya). Ketika malaikat penebar rahmat tidak memasuki rumah anda, di saat itulah makhluk lain, yang juga tidak kelihatan, akan menggantikan tempat mereka. Gambar-gambar keluarga, gambar binatang dan sebagainya mungkin akan membuatkan rumah anda nampak indah bagi syaitan.

8. Jauhkan Rumah Dari Alunan Muzik Ramai orang yang tidak sedar, bahawa suara alunan muzik ini berbahaya. Nabi SAW menyebutnya mizmarus syaithan (muzik syaitan). Nabi SAW mencontohkan salah satunya, loceng. Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, فِي الْجَرَسِ مِزْمَارُ الشَّيْطَانِ Nabi SAW berkata tentang loceng: muzik syaitan. (HR. Abu Daud 2556) Pada masa yang sama, malaikat penebar rahmat menghindari rumah yang dipenuhi dengan alunan muzik. Dari Ummu Salamah radhiallahu ‘anha, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya malaikat tidak akan menyertai rombongan yang di sana ada locengnya.” (HR. Thabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir, 1001). Kita telah sedia maklum tentang sikap yang berlawanan di antara malaikat penebar rahmat dengan syaitan pembangkang. Apabila salah satunya tiada, maka yang lainnya akan datang. Maksudnya apabila di rumah anda tiada Malaikat pembawa rahmat, maka syaitanlah yang masuk ke dalam rumah anda. Dan begitulah yang terjadi sebaliknya. Oleh itu, jadikanlah rumah anda seperti taman-taman malaikat penebar rahmat dan bukan tempat berehatnya syaitan. Hiasi rumah anda dengan berbagai ketaatan dan amal ibadah. Agar yang menemani anda dan memenuhi ruang rumah anda juga terdiri dari makhluk yang baik dan dirahmati. Penuhi rumah anda dengan bacaan Al-quran, solat-solat sunat, majis-majlis ilmu dan jemput jiran-jiran anda datang, dan banyak lagi akitiviti yang boleh anda fikirkan. Artikel ini bermanfaat untuk anda? Jika ya, jangan lupa untuk kongsikan artikel yang anda baca ini dengan rakan-rakan anda yang lain. Semoga member manfaat kepada semua. Sumber : perawatislam.com

Sumber: kisahseram.com

Leave a Reply

Your email address will not be published.